Oleh: Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad (bhsastera@nstp.com.my)

Sumber: Berita Harian dot com

PASTI ramai pembaca akan terkejut dengan pendedahan yang dibuat Nik Azran Muhamed dan Mohd Mahadi Isa dalam Gerakan Freemansory: Musuh dalam menghancurkan Islam kerana ia terjadi secara di luar sedar sehingga gerakan kebangsaan turut menjadi sasaran.

Freemasonry atau Freemason dipelopori oleh gerakan Zionis dengan agenda menghancurkan Islam di seluruh dunia berselindung di sebalik kegiatan kemanusiaan, kebajikan dan keamanan di seluruh dunia sehingga musuh tidak sedar akan fahaman Yahudi yang cuba disebarluaskan.

Kegiatan dalam bidang pendidikan, politik, budaya dan sosial, turut dijadikan landasan untuk menyusup masuk ke fahaman, agama dan bangsa lain, tetapi di luar sedar mereka, hakikatnya taat setia mereka sebenarnya adalah pada gerakan terbabit.

Seluruh umat Islam pasti membenci Yahudi yang bertanggungjawab merampas Palestin dan membina Haikal Sulaiman, iaitu kuil Yahudi pertama di Baitulmaqdis di atas runtuhan Masjid al-Aqsa.

Bagaimanapun, berapa ramai daripada kita yang sedar bahawa gerakan terbabit sudah berjaya memperluaskan cengkaman pemerintahannya sehingga ke Syria, Iraq, Jordan dan Mesir dan menguasai Makkah dan Madinah!

Buku ini mendedahkan segala-galanya dengan menyorot lima rukun gerakan Freemason yang mempunyai persamaan dengan Zionisme, sekali gus merebak ke negara yang pernah menjadi jajahan kuasa imperialis Barat.

Lima rukun gerakan Freemason ialah monotheisme bermaksud kesatuan Tuhan dan nasionalisme yang cenderung kepada fanatik bangsa seperti Yahudi serta humanisme, iaitu kemanusiaan yang digula-gulakan dengan konsep adil dan beradab, tetapi sebenarnya merujuk ajaran Talmud.

Rukun keempat ialah demokratisme atau penyatuan suara, manakala rukun terakhir ialah sosialisme, iaitu keadilan sosial tetapi ia hanya ditujukan kepada Yahudi atau Yahudi diangkat menjadi pemimpin.

Buku ini turut mendedahkan perhatian yang diberikan gerakan Freemason kepada aktiviti sosial dengan tumpuan kepada aktiviti kemanusiaan dan bantuan serta memberi penghargaan kepada individu cemerlang.

Segala-galanya ini berlaku secara biasa sehingga unsur gerakan Yahudi tidak kelihatan, lalu kehadiran persatuan yang mengagung-agungkan kemanusiaan diterima ramai seperti penerimaan Pertubuhan Bahaiyah, Kelab Rotary Antarabangsa, Kelab Lions dan Pertubuhan Yoga di negara ini.

Lebih menyedihkan apabila pengarang buku ini mendedahkan sebahagian besar yang terjebak dengan gerakan ini ialah di kalangan orang berkepentingan dalam kerajaan dan bukan kerajaan.

Buku ini mengemukakan bukti pendedahan itu berdasarkan kajian 2002 yang menunjukkan 60 peratus daripada kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah anggota Freemanson, selain mereka bergiat secara aktif dalam organisasi penting di Amerika Syarikat (AS) dan Britain serta negara Eropah.

Pembaca turut disuguhkan contoh cara Freemason menguasai pemikiran masyarakat di negara ini dengan konsep pecah dan perintah serta pembahagian kuasa, menyerahkan urusan pemerintahan negara kepada orang politik, manakala agama dan istiadat kepada orang agama.

Buku ini menegaskan gerakan Freemason menjadi agenda jahat Yahudi sejak sekian lama seawal usaha menghapuskan agama Islam melalui kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah, Kerajaan Islam yang kuat dan unggul.

Pembaca boleh menilai gerakan Freemason sebagai dakyah Yahudi dalam mencapai impian leluhur mereka dan tidak puas hati terhadap layanan yang diterima sejak sekian lama, termasuk tindakan licik merekrut ahli dengan memilih individu berkedudukan dan status saja.

Dengan membaca buku ini, pembaca dapat kesedaran untuk berhati-hati dalam memilih pemimpin dan jangan mempercayai badan sosial atau kebajikan tanpa usul periksa kerana berkemungkinan mereka mempunyai agenda tersembunyi. 

INFO

Gerakan Freemansonry Musuh dalam Menghancurkan Islam

Pengarang: Nik Azran Muhamed dan Mohd Mahadi Isa

Tebal: 210 halaman

Penerbit: Hijjaz Records Publishing

Harga: RM35.90 senaskhah

Bintang: ****

  • Dua sahabat berpadu tenaga

NIK Azran Muhamed yang dilahirkan di Kampung Kota Jembal, Kota Bharu pada 3 Mac 1979, menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Lalat dan menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Agama Arab Ma’ahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu.

Selepas tamat pengajian menengah, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar cawangan Tanta di Mesir pada 1998 dan menamatkan Sarjana Muda di Fakulti Syariah dan Perundangan dalam bidang Perundangan Islam.

Nik Azran yang kini meneruskan pengajian sarjana di Universiti Terbuka Amerika, bergandingan dengan sahabatnya, Mohd Mahadi Isa yang dilahirkan pada 21 November 1978 dan dibesarkan di Pondok Air Jernih, Kampung Ulu Kendenang, Grik.

Mohd Mahadi mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sri Adika Raja Grik, sebelum meneruskan pendidikan di Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan Madrasah Tarbiah Mardziah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir.

Segala penat lelah terbalas apabila beliau berjaya menamatkan pengajiannya Sarjana Muda (Tafsir dan Ulum al-Quran) di Fakulti Usuluddin, sekali gus mendorongnya untuk menghasilkan karya berkualiti untuk dikongsi dengan masyarakat.

Iklan