Pengunjung yang saya hormati, sebelum membaca artikel ini mohon sekiranya untuk mengklik link di bawah ini terlebih dahulu. Makasi…

*****************************

Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah ( Islam Fundamental ). Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah ‘Hadhari’ telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya ‘Al-Muqaddimah’ dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah ‘hadhara’ yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. ( Siri Monografi Islam Hadhari Terengganu Bistari , m/s 3 – Idris Jusoh )

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun menyeluruh – yang berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu dan umat Islam amnya. Islam Hadhari akan menjadikan warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam masa lampau sebagai pendorong kepada pembangunan dan kemajuan tamadun umat Islam masa kini dalam semua bidang kehidupan.

Lantaran itu Islam Hadhari telahpun dijadikan satu kerangka Dasar Nasional yang akan dijadikan sebagai asas di dalam perancangan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara Islam Maju menjelang Tahun 2020. Dalam erti kata lain, Wawasan 2020 yang telah dijadikan sebagai ‘mainstream’ negara selama ini haruslah berpaksikan kepada ruh Islami atau dalam istilah yang lebih progresifnya ialah Islam Hadhari . Inilah rahsia yang tersurat disebalik kesungguhan kepimpinan negara di bawah teraju YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari.

Maksud Islam Hadhari

Apakah yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ? ‘Islam Hadhari’ adalah gabungan dari dua kalimah Bahasa Arab, iaitu : ‘Islam’ dan ‘Hadhari’ (sifat). Asal perkataan ‘Hadhari’ ialah ‘Hadharun’ – ‘Hadharatun’ (Hidup di Bandar) yang membawa maksud membangun, maju ataupun bertamadun – lawan kepada perkataan ‘badawah’ (kepedalaman atau kemunduran). Bertolak daripada kata dasar tersebut maka perkataan ‘hadharah’ ataupun sifatnya ‘hadhari’ bolehlah ditakrifkan sebagai hasil tindakbalas antara manusia dengan alam dan kehidupan sekitarnya melalui usaha yang dilakukan oleh manusia sendiri bagi memperbaiki kedudukan kehidupannya di dunia secara fizikal dan spiritual mengikut keperluan dan peredaran semasa (waqie).

Pengertian hadharah (hadharatun) itu semakin luas skopnya apabila komuniti manusia itu semakin jauh daripada corak hidup kepedalaman, serta apabila mereka mula terbabit dengan gaya hidup masyarakat maju yang progresif dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian zaman dan tempat. Justeru, hadharah ataupun tamadun adalah hasil-hasil usaha yang dilakukan oleh manusia untuk mengeksploitasi unit-unit alam yang berada di sekitarnya. Tujuannya ialah untuk merealisasikan segala keperluan dalam masyarakat manusia serta menyebarluas faktor-faktor kebaikan dan kebahagiaan di kalangan manusia sejagat.

10 Prinsip Utama Islam Hadhari

Bagi menjana pembangunan yang seimbang dan pengintegrasian antara kemajuan duniawi dan juga persiapan ukhrawi dalam Pembangunan Islam Hadhari di Malaysia, maka Y.A.B Perdana Menteri telah memberi penekanan kepada Kehidupan Berkualiti sebagai salah satu daripada 10 Prinsip Utama Islam Hadhari :

1. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi.

2. Kerajaan adil dan beramanah.

3. Rakyat berjiwa merdeka.

4. Penguasaan ilmu pengetahuan.

5. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.

6. Kehidupan berkualiti.

7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.

8. Keutuhan budaya dan moral.

9. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

10. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan.

Penekanan ini telah dikupas sendiri oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di perhimpunan berkenaan dengan menjelaskan bahawa:

“Islam Hadhari memberi penekanan kepada pembangunan – pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan (Kehidupan Berkualiti). Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik”

Untuk melaksanakan pembangunan bagi membina peradaban Islam di Malaysia, kita perlukan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah kepada Kerajaan Barisan Nasional menerusi mandat rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-11 yang lalu. Bertepatan dengan firman Allah S.w.t :

Bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)”. ( Surah an-Nur : Ayat 55 )

Pembangunan Islam Hadhari Satu Amanah Allah. Pendekatan Islam Hadhari yang dirancang oleh kerajaan dari sudut menjana Kehidupan Berkualiti seperti yang diutarakan oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan salah satu usaha untuk menguatkan dan mengembangkan agama Islam. Ianya sebahagian daripada tugas khalifah seperti yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas.

Di samping itu, Islam Hadhari akan memberi penekanan kepada pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Pendekatan Islam Hadhari Selaras Sunnah Rasul. Pendekatan Islam Hadhari yang dirancang oleh kerajaan seperti yang dinyatakan di atas, dari sudut menjana Kehidupan Berkualiti di kalangan rakyat adalah juga berasaskan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasululah S.a.w ketika membangunkan Kota Madinah, iaitu dengan membina Kehidupan Berkualiti dalam aspek memberi penekanan kepada usaha membasmi al-jahlu ( Kejahilan ), Membasmi al-fakru (Kefakiran/kemiskinan ) dan membasmi al-maradhu (penyakit).

Perancangan Kerajaan di dalam membangunkan Islam Hadhari di kalangan rakyat dalam segenap aspek yang dinyatakan di atas merupakan satu usaha amal soleh. Ini kerana usaha yang sedemikian termasuk dalam kategori meringan dan memudahkan kesulitan orang lain, yang mana Rasulullah S.a.w telah bersabda, bermaksud :

“Barang siapa meringankan sesama orang Islam dari kesulitan-kesulitan dunia, Allah akan meringankannya dari kesulitan-kesulitan hari Khiamat. Barang siapa memudahkan seseorang yang sedang mengalami kesulitan, Allah akan memudahkan urusannya, baik di dunia maupun di akhirat..”( Hadith : Riwayat Muslim )

Bertepatan dengan hadith tersebut, dan dalam konteks memahami dan menghayatinya dari perspektif Islam Hadhari, maka Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO pada 23 September 2004, juga menyarankan bahawa:

“Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang… Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan”