Konsep & Falsafah Islam Hadhari

Posted on Updated on


Pengunjung yang saya hormati, sebelum membaca artikel ini mohon sekiranya untuk mengklik link di bawah ini terlebih dahulu. Makasi…

*****************************

Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah ( Islam Fundamental ). Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah ‘Hadhari’ telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya ‘Al-Muqaddimah’ dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah ‘hadhara’ yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. ( Siri Monografi Islam Hadhari Terengganu Bistari , m/s 3 – Idris Jusoh )

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun menyeluruh – yang berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu dan umat Islam amnya. Islam Hadhari akan menjadikan warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam masa lampau sebagai pendorong kepada pembangunan dan kemajuan tamadun umat Islam masa kini dalam semua bidang kehidupan.

Lantaran itu Islam Hadhari telahpun dijadikan satu kerangka Dasar Nasional yang akan dijadikan sebagai asas di dalam perancangan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara Islam Maju menjelang Tahun 2020. Dalam erti kata lain, Wawasan 2020 yang telah dijadikan sebagai ‘mainstream’ negara selama ini haruslah berpaksikan kepada ruh Islami atau dalam istilah yang lebih progresifnya ialah Islam Hadhari . Inilah rahsia yang tersurat disebalik kesungguhan kepimpinan negara di bawah teraju YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari.

Maksud Islam Hadhari

Apakah yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ? ‘Islam Hadhari’ adalah gabungan dari dua kalimah Bahasa Arab, iaitu : ‘Islam’ dan ‘Hadhari’ (sifat). Asal perkataan ‘Hadhari’ ialah ‘Hadharun’ – ‘Hadharatun’ (Hidup di Bandar) yang membawa maksud membangun, maju ataupun bertamadun – lawan kepada perkataan ‘badawah’ (kepedalaman atau kemunduran). Bertolak daripada kata dasar tersebut maka perkataan ‘hadharah’ ataupun sifatnya ‘hadhari’ bolehlah ditakrifkan sebagai hasil tindakbalas antara manusia dengan alam dan kehidupan sekitarnya melalui usaha yang dilakukan oleh manusia sendiri bagi memperbaiki kedudukan kehidupannya di dunia secara fizikal dan spiritual mengikut keperluan dan peredaran semasa (waqie).

Pengertian hadharah (hadharatun) itu semakin luas skopnya apabila komuniti manusia itu semakin jauh daripada corak hidup kepedalaman, serta apabila mereka mula terbabit dengan gaya hidup masyarakat maju yang progresif dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian zaman dan tempat. Justeru, hadharah ataupun tamadun adalah hasil-hasil usaha yang dilakukan oleh manusia untuk mengeksploitasi unit-unit alam yang berada di sekitarnya. Tujuannya ialah untuk merealisasikan segala keperluan dalam masyarakat manusia serta menyebarluas faktor-faktor kebaikan dan kebahagiaan di kalangan manusia sejagat.

10 Prinsip Utama Islam Hadhari

Bagi menjana pembangunan yang seimbang dan pengintegrasian antara kemajuan duniawi dan juga persiapan ukhrawi dalam Pembangunan Islam Hadhari di Malaysia, maka Y.A.B Perdana Menteri telah memberi penekanan kepada Kehidupan Berkualiti sebagai salah satu daripada 10 Prinsip Utama Islam Hadhari :

1. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi.

2. Kerajaan adil dan beramanah.

3. Rakyat berjiwa merdeka.

4. Penguasaan ilmu pengetahuan.

5. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.

6. Kehidupan berkualiti.

7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.

8. Keutuhan budaya dan moral.

9. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

10. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan.

Penekanan ini telah dikupas sendiri oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di perhimpunan berkenaan dengan menjelaskan bahawa:

“Islam Hadhari memberi penekanan kepada pembangunan – pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan (Kehidupan Berkualiti). Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik”

Untuk melaksanakan pembangunan bagi membina peradaban Islam di Malaysia, kita perlukan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah kepada Kerajaan Barisan Nasional menerusi mandat rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-11 yang lalu. Bertepatan dengan firman Allah S.w.t :

Bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)”. ( Surah an-Nur : Ayat 55 )

Pembangunan Islam Hadhari Satu Amanah Allah. Pendekatan Islam Hadhari yang dirancang oleh kerajaan dari sudut menjana Kehidupan Berkualiti seperti yang diutarakan oleh Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan salah satu usaha untuk menguatkan dan mengembangkan agama Islam. Ianya sebahagian daripada tugas khalifah seperti yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas.

Di samping itu, Islam Hadhari akan memberi penekanan kepada pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Pendekatan Islam Hadhari Selaras Sunnah Rasul. Pendekatan Islam Hadhari yang dirancang oleh kerajaan seperti yang dinyatakan di atas, dari sudut menjana Kehidupan Berkualiti di kalangan rakyat adalah juga berasaskan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasululah S.a.w ketika membangunkan Kota Madinah, iaitu dengan membina Kehidupan Berkualiti dalam aspek memberi penekanan kepada usaha membasmi al-jahlu ( Kejahilan ), Membasmi al-fakru (Kefakiran/kemiskinan ) dan membasmi al-maradhu (penyakit).

Perancangan Kerajaan di dalam membangunkan Islam Hadhari di kalangan rakyat dalam segenap aspek yang dinyatakan di atas merupakan satu usaha amal soleh. Ini kerana usaha yang sedemikian termasuk dalam kategori meringan dan memudahkan kesulitan orang lain, yang mana Rasulullah S.a.w telah bersabda, bermaksud :

“Barang siapa meringankan sesama orang Islam dari kesulitan-kesulitan dunia, Allah akan meringankannya dari kesulitan-kesulitan hari Khiamat. Barang siapa memudahkan seseorang yang sedang mengalami kesulitan, Allah akan memudahkan urusannya, baik di dunia maupun di akhirat..”( Hadith : Riwayat Muslim )

Bertepatan dengan hadith tersebut, dan dalam konteks memahami dan menghayatinya dari perspektif Islam Hadhari, maka Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO pada 23 September 2004, juga menyarankan bahawa:

“Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang… Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan”

About these ads

13 pemikiran pada “Konsep & Falsafah Islam Hadhari

    shukri mohamed berkata:
    27 Februari 2008 pukul 09:02

    Assalamualaikum
    Cuma nak tanya sikit, kalau 10 atau 15 tahun ke depan ni, tiap2 hari anak-anak kita disebut tentang Islam hadhari, tidak ke confuse nanti dengan Islam yang sebenar dari ALLAH? dan kalau anak-anak itu tanya, dengan katanya “Bapak! ape itu Islam?” agak-agaknya ada tak jawapan yang munasabah untuk kita berikan ?
    Satu lagi ye…..kenapa 10 perkara dalam islam hadhari bukan semua perkara asas, yang pertama boleh diterima sebagai yang asas, tapi masuk ke 3 dan seterusnya, itu hanyalah aktiviti dan gerak kerja, bukan melibat asas-asas penting, penjelasan perlu diberkan ?
    Yang terakhir ye……Islam yang diturunkan ALLAH ini dan diutuskan Rasulullah untuk membawanya ke bumi tidak lengkap ke ? sampai perlukan satu pendekatan lain….pelik juga tu…semua tu nak kena jelaskan.

    natasha hudson berkata:
    4 Maret 2008 pukul 14:56

    naper perlukan islam hadhari?sy tau ia hanya sebuah konsep tapi tak perlu la nk guna islam hadhari…buat semua pening sj…pengisian islam itu sndiri dh lengkap dan sempurna dan boleh digunapakai smp kiamat kandungannya…

    z berkata:
    6 Maret 2008 pukul 09:05

    biasalah ada setengah benda kalau dah lama wujud ia akan basi.so kalau bagi nama baru ia memberi nafas baru untuk orang lain mengkaji dan memaham isi kandungannya. so kalau nampak sama kita telah membuat semakan semula terhadap islam

    JoeBlur berkata:
    6 Juni 2008 pukul 17:44

    biasalah ada setengah benda kalau dah lama wujud ia akan basi.so kalau bagi nama baru ia memberi nafas baru untuk orang lain mengkaji dan memaham isi kandungannya. so kalau nampak sama kita telah membuat semakan semula terhadap islam <– ayat ni meragui Islam yang sedia ada…

    Ingat agama ni boleh bawa main ker… Senang2 nak tambah nama… Ajaran Islam dah lengkap, tak payah nak ditokok tambah. Seperti En. Shukri katakan, perkara dalam Islam Hadhari ni banyak kepada kemajuan dan sekiranya anak2 kita bertanya tentang agama, apa yang perlu kita jawab jika mereka membezakan Rukun Islam dan Prinsip Islam Hadhari… Kalau konsep ni terus dilaksanakan, sekolah Agama pun terpaksa mewujudkan 1 lagi tajuk buku iaitu Hadhari… Lebih memeningkan kepala…

    Ahli-ahli Agama pun tak der yang terfikir dan BERANI nak tambah apa2 dalam Islam, inikan pula pemimpin kita… Ingat dia siapa ??

    JoeBlur berkata:
    6 Juni 2008 pukul 17:48

    Aku tengok orang yang sediakan artikel di atas pun tak menjawab apa2 komen ni… Bukan nak menuduh, tapi JANGAN KERANA BUTA AGAMA, sampai nak sebarkan sesuatu yang memusykilkan orang… Jawablah semua komen yang ada ni…

    abu berkata:
    30 Juni 2008 pukul 23:25

    kepada Pak Lah,ko tu org berpelajaran..takkan tak faham2 lagi Islam tu da nabi Muhammad tinggalkan selengkap2nya sehingga kiamat..budak kecik pun bole paham..nape nak tokok n ubah2 lg??..memandai kau je..bertaubatla..ni bole menyesatkan org..takutlah pada Allah..

    Ustaz Pak Lah berkata:
    17 September 2008 pukul 19:01

    Paklah merupakan tokoh islam yg paling memalukan dalam sejarah islam. hadhari tu hanyalah konsep, bukan ajaran. jika bukan ajaran, manakan boleh disebut Islam Hadhari?? ni bukan nak memajukan umat islam, malah mengelirukan lagi ada la.

    Sepatutnya nama Islam tidak boleh dipolitikkan. Dah islam, itu islam la. tiada dua atau tiga. jika mahu perkenalkan konsep, jangan pakai Islam Hadhari, sebaliknya Konsep Hadhari dalam Islam. baru la betul. Pak Lah ni mangkuk mmg tak layak jadi PM la… undur Pak lah ! undur!!

    ae_zin berkata:
    19 September 2008 pukul 09:24

    tak pasti apa matlamat Dolah dan seluruh jentera kerajaan dalam mempamirkan konsep Islam Hadhari ni. Mengapa perlu ada tambahan Hadhari dan penjenamaan semula? Nak sesuaikan dengan masyarakat Malaysia? Atau sebagai pengenalan ajaran baru yang mengelirukan generasi muda dan lama kelamaan akan terus menyesatkan. Apa beza dengan Islam Liberal di Indon? Bukan ke Islam itu telah lengkap dan praktikal untuk setiAP ZAMAN DAN KETIKA? (Rujuk wahyu terakhir Nabi Muhammad).

    AbuSS berkata:
    27 Oktober 2008 pukul 06:47

    Islam memang dah sempurna… tak da istilah basi ke tak basi… yang membuatkan basi adalah orangnya … ORANGNYA, kita dah tiada idola ( PEMIMPIN ISLAM SEBENAR ),

    Mari renung Sabda Rasulullah S.A.W : ” Sebaik-baik kurun ialah kurunku kemudian selepas kurun ku dan kemudian selelepas kurun itu pula ”

    - memberi erti sebaik contoh ialah sekitar 300 tahun di zaman dan selepas Rasulullah S.A.W sahaja.

    Sabda Rasulullah S.A.W. lagi :

    ” Setiap 100 tahun akan ada seorang MUJADDID yang akan memperbaharui agama Ku ”

    - maksud memperbaharui tu ialah memberi nafas baru, Islam di lihat indah, syumul ( menyeluruh … bukan sebahagian-sebahagian .. bukan ekonomi sahaja, bukan ibadah sahaja, bukan pendidikan sahaja tetapi seluruh aspek kehidupan ) . Islam yang membawa kasih-sayang, perpaduan. Ada roh. Bukan Islam cakap-cakap sahaja.

    Yang mengelirukan tu sebenarnya … KITA yang dah berada di zaman kegelapan dan bercakap dalam keadaan gelap, akhirnya apa yang nak di ceritakan adalah gelap gulita sahaja.

    Yang beri istilah baru pun pandai cakap sahaja, yang komen-komen pun tak ada contoh.

    Tugas kita cari MUJADDID dan ikutilah contoh kehidupan mereka, itulah kehidupan ISlam sebenar.

    Wallahu a’lam.

    xxxx berkata:
    30 September 2009 pukul 11:50

    tidak perlu la memepersalahkan sesiapa.. Berdoalah dan minta Tuhan yang mengurniakan akal kpd diri kamu dan orang lain supaya dapat memahami ajaran itu..

    mimi berkata:
    21 Januari 2010 pukul 20:44

    Susah betul manusia nak menerima benda yang baik dalam Kehidupnya.Kalau rasa tidak setuju tidak perlu di praktikkan Konsep Islam Hadhari.Mengapa perlu nak menghina? Saya bersetuju dengan komen Abbus.Amat terang dan jelas maksudnya berserta dengan contoh-contohnya. Mudah saya untuk faham apa yang ingin anda jelaskan.Amat berguna kepada pelajar seperti saya.Terima kasih.

    Batik Biru berkata:
    13 April 2010 pukul 08:17

    kenapa perlu dipecahkan islam itu lagi? tidak cukupkah keadaan islam yang telah dipecah2kan oleh golongan yahudi 1400 tahun yg lalu? Islam hadhari tidak releven bagi saya. Bagi saya, Allah itu 1, Islam itu 1 dan ummat perlu juga 1. kalau di pecah2, jadilah mcm skrg ni….tidak 1.

    ramadhan berkata:
    4 Agustus 2011 pukul 06:24

    pendapat sy tidak perlulah ditokok tambah dengan nama hadhari dibelakang.

    jika seorang kafir hendak mempelajari islam, dia akan bertanyakan, apa beza islam yg dibawa oleh nabi muhammad dengan islam yg diperkenalkan pak lah. siapa yang nak bertanggungjawab untuk jelaskan? one question will begets to another. apa islam yg dibawa oleh nabi muhammad tak menekankan aspek ketamadunan? siapa nak jawab?

    klu soalan tu ditujukan kepada sy, sy akan katakan A, tanyakan kepada yg lain dia akan katakan B misalnya ini dah membawa perpecahan. ada setuju dan ada yg tak setuju. sedangkan para ulama pun tak bersepakat mengenai hal ni, inikan pula rakyat dibawah. mesti ada yang terbabas punya.

    mualaf pula bagaimana? begitu payahnya kita nak menerangkan mereka mengenai perbezaan pegangan mazhab besar, itu tidak menyentuh perkara pokok tetapi hanya ranting, sekarang muncul pula mazhab pak lah. bagaimana pula nanti mereka melihat gambaran yg lebih besar sedangkan umat islam sendiri pun berpecah ada yg setuju ada yg tak setuju. mereka2 ni baru nak belajar bertatih. itu mereka yg belajar mengenai agama bukan mewarisi macam kita.

    sy sedih lah tengok majlis ulama pun tak bangkit menasihati pak lah dalam isu ni. kita faham konsep hadhari tu bukan baru, nabi pun dah lama ajar benda tu tetapi nabi tak meletakkan nama hadhari tu kerana ia hanyalah satu daripada banyak nilai didalam islam. klu dalam ilmu matematik, sy menggambarkan islam itu sebagai population (gambaran besar) dan hadhari tu hanyalah satu sampel (nilai) dalam banyak sampel2 yg lain.

    harimau mati meninggalkan belang, pak lah bersara meninggalkan ….? tolonglah kami dah cukup pening nak menangkis faham liberal. islam tu agama wahyu. tak perlu diberikan nafas baru. islam kekal relevan sampai kiamat. maaf,,

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s